- Details
- Category: Aktiviti KESKA
- KESKA UUM By
- Hits: 362
KESKA bimbing peserta buat roti
Oleh: Hazree Hairudin
Gambar oleh: Biro Media dan Publisiti KESKA
UUM ONLINE: Sintok, 3 September – Kesatuan Kakitangan Universiti Utara Malaysia (KESKA) telah menganjurkan Bengkel Asas Pembuatan Roti di Dapur Latihan Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti, dan Acara (STHEM), semalam yang telah menarik minat seramai 30 orang peserta.
Bengkel ini melibatkan penyertaan daripada ahli-ahli KESKA, staf UUM, serta orang awam yang berminat untuk mempelajari asas pembuatan roti.
Presiden KESKA, Affendi Askandar telah merasmikan bengkel tersebut di mana dalam ucapannya, beliau melahirkan rasa bangga atas sambutan menggalakkan daripada para peserta dan turut menyampaikan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan bengkel ini.
Sepanjang bengkel, peserta diberikan tunjuk ajar oleh tenaga pengajar berpengalaman yang dibantu oleh pembantu dapur yang cekap. Antara perkara yang diajar termasuklah cara menyediakan doh, teknik menggunakan mesin pembuat roti, cara menyediakan pelbagai jenis roti daripada satu doh, serta kaedah membakar roti.
Pada majlis penutup, setiap peserta menerima sijil penyertaan sebagai pengiktirafan atas usaha dan komitmen mereka.
Seorang peserta, Nordiana Shafiee melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada KESKA atas penganjuran bengkel ini yang julung kali disertainya.
Beliau juga menyatakan rasa seronok kerana memperoleh ilmu yang berguna untuk menyediakan roti yang enak dan lazat, selain dapat berkenalan dengan peserta lain berkongsi tips.
KESKA turut menyampaikan penghargaan kepada tenaga pengajar, Puan Siti Aminah Hasbullah serta pembantu-pembantu dapur yang telah banyak membantu dalam melancarkan perjalanan bengkel ini.
Penghargaan juga diberikan kepada pihak Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti, dan Acara (STHEM) kerana menyediakan tempat yang sesuai bagi penganjuran bengkel ini.
