- Details
- Category: Aktiviti KESKA
- KESKA By
- Hits: 695
Jalinan Komuniti Harmoni - Perkukuh hubungan KESKA dengan komuniti luar
Berita dan gambar oleh: Hazree Hairudin, Biro Media & Publisiti, KESKA
Pulau Pangkor, 26 Julai 2024 - Kesatuan Kakitangan Universiti Utara Malaysia (KESKA) telah menganjurkan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) "Jalinan Komuniti Harmoni" di Kampung Teluk Kecil, Pulau Pangkor, Perak.
Program ini diadakan sempena Kursus Pembangunan Kepimpinan dan Pengurusan Organisasi yang berlangsung dari 25 hingga 27 Julai 2024.
Tujuan utama program CSR ini adalah untuk mengeratkan hubungan antara warga kampus UUM dan komuniti Kampung Teluk Kecil serta untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat setempat. Pelbagai aktiviti menarik telah dianjurkan sepanjang program ini.
Antara aktiviti yang diadakan termasuklah gotong-royong menyediakan juadah, menanam pokok bunga di pekarangan surau kampung, serta pelbagai program sukan rakyat.
Aktiviti sukan rakyat yang diadakan adalah seperti membawa bola menggunakan sudu dan boling kelapa melibatkan penyertaan anak-anak dan ahli jawatankuasa kampung serta ahli KESKA.
Selain itu, ahli KESKA turut dibawa ke jeti untuk mempelajari teknik menyambung jala dan memberikan mereka peluang untuk memahami kehidupan nelayan tempatan serta menimba pengalaman baru.
Ketua Kampung Teluk Kecil, Puan Mazwinteh Abdul Rahman dalam ucapannya menyatakan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada KESKA kerana sudi turun padang dan melaksanakan program CSR di kampung beliau. Beliau berharap agar program seperti ini dapat diteruskan di masa hadapan untuk manfaat bersama.
Sementara itu, Setiausaha Kesatuan Kakitangan UUM, Puan Nor Aziah Mehat, berkata, "Program CSR seperti ini akan diadakan secara berterusan oleh kesatuan bagi membina hubungan yang lebih erat dengan komuniti luar, serta untuk memupuk semangat kesukarelawanan di kalangan kakitangan UUM. Ini juga sebagai satu cara untuk kami memberi balik kepada masyarakat dan membantu dalam pembangunan komuniti."
Pada akhir program, majlis penyampaian hadiah diadakan bagi semua pemenang pertandingan sukan rakyat sebagai menambahkan lagi kemeriahan dan keseronokan dalam program tersebut.
Program "Jalinan Komuniti Harmoni" ini berjaya mencapai matlamatnya dalam mengukuhkan hubungan antara KESKA dan komuniti Kampung Teluk Kecil, serta memberikan pengalaman yang berharga kepada semua yang terlibat.
#BersatuBersamaUniversiti
