- Details
- Category: Aktiviti KESKA
- KESKA UUM By
- Hits: 457
Kursus Pembangunan Kepimpinan dan Pengurusan Organisasi KESKA - Perkasa Ahli, Serlahkan Potensi
PULAU PANGKOR, 25 Julai 2024 - Seramai 40 ahli Kesatuan Kakitangan Universiti Utara Malaysia (KESKA) dari pelbagai jawatan menghadiri Kursus Pembangunan Kepimpinan dan Pengurusan Organisasi yang diadakan di Kejora Garden Resort.
Kursus selama 3 hari ini menggunakan peruntukan geran berjumlah RM15,000 daripada Jabatan Hal Ehwal Sekerja (JHEKS) Pulau Pinang, Kedah dan Perlis dan telah dirasmikan oleh Pengarah JHEKS, Puan Noraini Nordin.
Kursus ini diadakan bertujuan untuk memperkukuhkan kefahaman ahli kesatuan mengenai peranan dan tanggungjawab mereka dalam organisasi serta mencungkil bakat kepimpinan. Antara perincian yang dibincangkan termasuklah sejarah dan struktur kesatuan, akta-akta yang berkaitan, serta peraturan-peraturan yang harus dipatuhi oleh ahli kesatuan.
Puan Noraini Nordin turut menghuraikan perbezaan antara kesatuan dan persatuan dalam ucapan perasmiannya.
Selain daripada sesi pembelajaran, kursus ini juga mengandungi aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan di Kampung Teluk Kecil, Pulau Pangkor. Pada hari ketiga, peserta kursus dibawa untuk menjalani aktiviti sukan rakyat di pantai Pasir Bogak, di mana mereka berpeluang untuk berinteraksi dan mengeratkan hubungan sesama ahli.
Para peserta menyatakan keseronokan mereka menghadiri kursus ini yang dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang diatur, malah turut berterima kasih kepada KESKA atas penganjuran kursus ini dan berharap agar lebih banyak kursus sebegitu diadakan pada masa akan datang.
"Kursus ini bukan sahaja memberi kami ilmu pengetahuan yang berharga, tetapi juga peluang untuk berinteraksi dan bekerjasama dengan rakan-rakan. Kami sangat menghargai usaha JHEKS dan KESKA dalam menganjurkan kursus yang bermanfaat ini," kata seorang peserta, Puan Nafizah Abdullah.
Presiden KESKA, Encik Afendi Askandar dalam ucapannya menekankan betapa pentingnya peranan kesatuan dalam menjaga kebajikan pekerja dan menggalakkan para peserta untuk terus aktif dalam kesatuan serta menjadi pemimpin yang berintegriti dan berkaliber tinggi.
"Dengan ilmu dan kemahiran yang diperoleh melalui kursus ini, saya berharap semua peserta dapat mempraktikkan apa yang dipelajari dan menjadi pemimpin pelapis yang berwibawa bagi KESKA," tambah beliau.
Pada majlis penutup kursus, hadiah telah disampaikan kepada pemenang-pemenang sukan rakyat yang diadakan sepanjang kursus tersebut.
Selain itu, cenderahati khas turut disampaikan kepada ahli majlis jawatankuasa yang telah bersara baru-baru ini iaitu Encik Bistomi Ismail sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan jasa beliau selama ini.
